Peguam perlu sahkan dakwaan MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 8:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peguam perlu sahkan dakwaan MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR - Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang mendakwa telah menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa rela hati dan secara paksaan perlu disahkan oleh peguam yang hadir ketika proses penandatanganan itu berlaku.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu adalah yang sebaiknya dilakukan untuk mengesahkan dakwaan Ismail.

Presiden UMNO itu berkata parti berkenaan tidak akan campur tangan sebaliknya menghormati sepenuhnya institusi diraja, undang dan adat di Negeri Sembilan.

"Saya rasa elok kalau kenyataan itu disahkan oleh peguam sendiri jika peguam itu hadir ketika penandatanganan proklamasi itu dikeluarkan, dan kita dengar mungkin sidang media akan diadakan dalam waktu yang paling terdekat,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ismail yang mendakwa dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis semalam.

Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan kononnya beliau hadir ketika proses penandatanganan dokumen itu.

"Tak ada, memang saya tak ada... dia (Ismail) dah nafikan dah yang saya memang tak ada dalam tu,” katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga menolak dakwaan bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan daripada Ismail.

Terdahulu, Ismail menjelaskan bahawa Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi kenyataan media malam tadi telah ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.

Ismail berkata, beliau telah membuat laporan polis pada kira-kira 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved