'Siapa yang memaksa MB' - Syahredzan gesa Ismail dedah perkara sebenar

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 8:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Siapa yang memaksa MB' - Syahredzan gesa Ismail dedah perkara sebenar
Syahredzan (kiri) dan Ismail Lasim

SHAH ALAM – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa menjelaskan perkara sebenar berhubung dakwaannya bahawa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, perkembangan terbaharu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan institusi beraja dan kestabilan institusi negara.

“Ismail wajar mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Pihak berkuasa juga mesti menyiasat dakwaan ini.

“Isu ini sudah melangkaui Negeri Sembilan. Perkembangan ini melibatkan soal kelangsungan dan keselamatan institusi-institusi negara serta Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Ismail dilaporkan memaklumkan bahawa surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).

Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP turut mempersoalkan pihak yang didakwa terlibat dalam memaksa penandatanganan dokumen tersebut seperti dilaporkan oleh media antarabangsa.

“Siapa yang memaksa Menteri Besar untuk menandatangani dokumen pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?

“Adakah benar terdapat individu dalam UMNO yang terlibat dalam episod ini, sedangkan pada masa sama mengiktiraf baginda sebagai pemerintah yang sah?” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa kemelut melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan dijangka menjadi semakin rumit apabila Undang Yang Empat, termasuk seorang Undang yang statusnya dipertikaikan, mengemukakan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz.

Dokumen tersebut didakwa telah ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dan menjadi antara perkara yang mencetuskan polemik berhubung kedudukan institusi pemerintahan negeri itu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved