'Terima kasih atas sokongan kuat' - Tuanku Muhriz

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 11:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Terima kasih atas sokongan kuat' - Tuanku Muhriz
Tuanku Muhriz tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1). Foto Bernama

SEPANG - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepadanya susulan kemelut yang berlaku membabitkan kedudukan baginda.

Baginda turut menyatakan hasrat untuk kembali ke istana dan menyelesaikan kemelut yang berlaku itu.

"Terima kasih atas sokongan yang kuat. Saya akan balik istana, mana lagi saya nak balik.

"Saya balik nak selesaikan masalah ini. Insya-ALLAH, terima kasih semua," titah baginda ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Sebelum itu, baginda tiba kira-kira jam 9.50 malam bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut kelihatan, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Kepulangan baginda dinantikan kira-kira 200 penyokong yang hadir di KLIA bagi menzahirkan sokongan dan menyambut kepulangan Tuanku Muhriz.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ turut bergema ketika ketibaan baginda di KLIA, dengan penyokong membawa sepanduk dan plakad serta melaungkan sokongan kepada Baginda.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Tuanku Muhriz masih merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved