Ismail enggan lantik Exco baharu, tunggu keputusan mahkamah

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 3:06 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ismail enggan lantik Exco baharu, tunggu keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan tergesa-gesa melantik barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pembatalan pelantikan 10 pemegang jawatan terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim menegaskan pentadbiran negeri memilih untuk menghormati saluran undang-undang memandangkan pertikaian tersebut sudah pun difailkan ke mahkamah.

“Buat masa ini, kita sudah membawa perkara itu ke mahkamah, jadi kita tunggu proses mahkamah.

“Mungkin ada perbincangan, tetapi saya tidak pasti. Kita lihat bagaimana keadaan seterusnya,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia di Seremban.

Krisis perlembagaan negeri itu tercetus susulan tindakan 10 bekas Exco merangkumi wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Oktober lalu.

Menerusi tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan kerajaan negeri itu, mereka memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan terbabit sebagai tidak sah, terbatal serta menuntut perincian tafsiran perlembagaan berhubung kuasa pembatalan berkenaan.

Terdahulu pada 21 September, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan barisan Exco berkenaan selepas mendapati wujud pelanggaran sumpah jawatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menolak desas-desus kononnya beliau bakal melepaskan jawatan, sambil menegaskan mandat kepimpinannya kekal utuh dengan sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) blok kerajaan.

Menurutnya, komitmen utama beliau ketika ini adalah memastikan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 berjalan lancar pada 27 November depan.

“Belanjawan ini penting. Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama menjelang sidang DUN supaya kita dapat membentangkan dan meluluskannya dengan jayanya,” tegas beliau.

Ismail menambah bahawa dokumen belanjawan kini di peringkat akhir hasil kerjasama erat jentera perkhidmatan awam negeri dan ketua-ketua jabatan, dengan satu lagi mesyuarat penyelarasan bakal diadakan sebelum perkenan Tuanku Muhriz diperoleh untuk pembentangan rasmi. - 27 Oktober, 2026

The post Ismail enggan lantik Exco baharu, tunggu keputusan mahkamah appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved