
LIPIS: Sebanyak 225.11 tan metrik bekalan makanan kering disediakan kerajaan negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini, khususnya bagi memastikan bantuan segera sampai kepada mangsa di kawasan berisiko terputus hubungan jalan darat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 332,906 unit atau pek barangan makanan kering bernilai RM3.78 juta itu dihantar ke 167 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini.
Katanya, persediaan awal itu adalah langkah proaktif kerajaan negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat atau bencana yang berlaku secara tiba-tiba.
“Bekalan ini akan diagihkan kepada sebanyak 167 pangkalan hadapan dan ini adalah perkara biasa. Setiap tahun kita laksanakan. Kita mengambil tindakan proaktif sekiranya berlaku banjir kilat ataupun bencana secara tiba-tiba, kita telah menyediakan barangan kering untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Peruntukan kita bagi langsung kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan peruntukan RM3.7 juta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penghantaran Barang Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang bagi MTL 2026/2027 di Felda Sungai Koyan di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memastikan barangan makanan yang disediakan boleh disimpan untuk tempoh tertentu tanpa melepasi tarikh luput sebelum digunakan.
“Kita pun dah fikir secara maksimum dan sehabis baik dan barang-barang itu semua kita telah lihat supaya ia tidak tamat tempoh dengan cepat. Barangan yang diagihkan ini ada tarikh luput dan boleh disimpan untuk beberapa bulan,” katanya.
Penghantaran bekalan ke semua pangkalan hadapan itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu sehingga 14 November ini melibatkan 11 daerah di Pahang. – UTUSAN
The post Pahang sedia 225 tan makanan kering hadapi tengkujuh appeared first on Utusan Malaysia.






