Ismail Diarah Bukti Sokongan Majoriti Sebelum Lantik EXCO Baharu - Istana 

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 4:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan beliau masih menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum mengemukakan senarai baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Perkara itu dimaklumkan Istana Negeri menerusi satu kenyataan hari ini susulan pertemuan antara Ismail dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, pagi tadi.

Pertemuan itu turut dihadiri empat Undang Luak Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan berkenaan, Ismail memaklumkan kepada Tuanku Muhriz bahawa beliau tidak pernah mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 16 November, mahupun bersetuju dengan penyerahan surat berkenaan.

Ismail turut mengekalkan pendirian sama ketika sidang media selepas pertemuan tersebut, dengan menyatakan Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugas bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pihak istana menegaskan bahawa kenyataan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai titah Tuanku Muhriz supaya Ismail terus kekal sebagai Menteri Besar.

“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar,” menurut kenyataan itu.

Image from: Ismail Diarah Bukti Sokongan Majoriti Sebelum Lantik EXCO Baharu - Istana 

Ismail juga dikehendaki mengemukakan cadangan senarai anggota EXCO baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz.

Menurut kenyataan itu, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya serta pembentangan Belanjawan Negeri hany dapat ditentukan selepas kedua-dua perkara berkenaan diselesaikan.

Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan EXCO sejak 20 September lalu selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota EXCO susulan dakwaan pelanggaran sumpah jawatan.

Ia berikutan tindakan mereka menyokong satu deklarasi yang menuntut penyingkiran baginda sebagai pemerintah negeri.

Pembentangan Belanjawan Negeri yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober lalu turut ditangguhkan kepada 27 November, manakala persidangan DUN dijangka bersambung sehari lebih awal.

Kontroversi berhubung kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar memuncak pada Isnin lalu apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan bahawa beliau telah meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, pihak istana kemudian memaklumkan bahawa pihaknya masih belum mengesahkan peletakan jawatan berkenaan.

Istana turut menjelaskan bahawa berdasarkan Perlembagaan Negeri, seseorang Menteri Besar perlu mengemukakan peletakan jawatan kepada Yang Dipertuan Besar dan ia hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Dalam perkembangan berasingan, kesemua 10 bekas anggota EXCO berkenaan menarik balik saman yang difailkan bagi mencabar keputusan pembatalan pelantikan mereka pada Rabu lalu.

Kumpulan itu terdiri daripada lapan ADUN Barisan Nasional dan dua ADUN Perikatan Nasional (PN).

Pelantikan mereka sebelum ini dibatalkan selepas kesemua mereka menyokong pendirian bahawa penyingkiran Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah, selain mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri. - Getaran, 20 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved