Ismail Lasim letak jawatan MB, Jalaluddin dedah UMNO Negeri Sembilan tak dimaklumkan sendiri!

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:58 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

UMNO Negeri Sembilan mengakui hanya mengetahui hasrat Datuk Ismail Lasim untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar menerusi makluman kepimpinan tertinggi parti, bukannya daripada beliau sendiri.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri tidak pernah memaklumkan perkara tersebut secara peribadi kepada pihaknya.

“Saya hanya dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi parti hasrat Yang Amat Berhormat (Ismail) untuk meletak jawatan.
“Beliau (Ismail) secara peribadi tak ada maklumkan kepada UMNO negeri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.
Datuk Seri Jalaluddin Alias (duduk dua dari kiri) bersama ADUN BN dan PN selepas mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Kredit Foto: NSTP/Mohd Amin Jalil

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri ADUN Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Jalaluddin enggan mengulas dakwaan Ismail dipaksa meletakkan jawatan, termasuk kenyataan pihak istana yang belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan.

“Tumpuan kita untuk pastikan supaya kerajaan negeri dapat diurus dengan baik dan juga proses ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau turut menegaskan UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan Ismail serta menghargai segala khidmat dan sumbangannya sepanjang menerajui pentadbiran negeri.

Menurutnya, pihak UMNO negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan tertinggi parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.

Jalaluddin ketika mempengerusikan mesyuarat khas biro politik negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional di Wisma UMNO negeri hari ini.  - Foto Bernama

Kredit Foto: BERNAMA

Jalaluddin turut menyeru semua pihak supaya bertenang dan menghormati proses yang sedang berlangsung, selain yakin kemelut pentadbiran negeri dapat diselesaikan secara berhemah dan harmoni.

Berhubung calon Menteri Besar baharu, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada cadangan kepimpinan tertinggi parti serta perkenan Tuanku Muhriz.

Terdahulu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan bertarikh 16 November kepada Tuanku Muhriz, dengan salinannya turut diterima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber: BH Online (Mohd Amin Jalil)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved