Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hadir ke Wisma Negeri bagi menjalankan tugas rasminya hari ini setelah sah mengangkat sumpah pada Ahad lalu.

Foto: Kosmo
Memetik laporan Kosmo, ADUN Juasseh itu tiba di Wisma Negeri sekitar jam 9 pagi dan kehadirannya disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali.
Pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar menyaksikan beliau mengambil alih amanah menerajui pentadbiran kerajaan negeri selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Berusia 67 tahun, Ismail bukanlah figura baharu dalam arena politik Negeri Sembilan apabila mempunyai pengalaman luas sebagai wakil rakyat dan pentadbir negeri.
Beliau mula bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas memenangi kerusi pada tahun 1999 sebelum terus mengembangkan pengalaman politiknya selama hampir tiga dekad.
Artikel lain: Tuanku Muhriz titah ADUN N. Sembilan dahulukan rakyat, elak politik jejaskan negeri
Sepanjang perjalanan politiknya, Ismail pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 2004 dan terus memainkan peranan dalam pentadbiran negeri selama tiga penggal berturut-turut sehingga 2018.
Dengan pengalaman yang dimiliki, pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar dilihat membawa kesinambungan kepimpinan serta pengalaman luas dalam mengurus tadbir Negeri Sembilan.
Sumber: Kosmo (Nur Sharieza Ismail)





