
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap pada jam 10.17 pagi ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tuanku Muhriz terlebih dahulu berangkat tiba di istana berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi tiga Undang yang mewakili Luak di negeri itu.
Mereka ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; dan Undang Luak Rembau, Datuk Haji Abdullah Sani Salim.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dipercayai menghadap baginda bagi membincangkan kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri.
Pertemuan tersebut berlangsung susulan laporan pada Isnin lalu yang mendakwa Ismail telah mengemukakan peletakan jawatannya, selepas hampir empat bulan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan, peletakan jawatan berkenaan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Ismail turut dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Besar pada Selasa lalu. - Getaran, 20 November 2026






