Ismail Sabri Akan Dipanggil Sekali Lagi - Azam Baki

LocalPolitics
3 Mar 2025 • 5:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara mata wang asing dan jongkong emas yang dirampas - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, Perdana Menteri Ke-9 itu dikategorikan sebagai suspek dalam kes tersebut.

"Saya boleh sahkan beliau (Ismail Sabri) adalah suspek dalam kes ini. Pertama, di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, beliau dikehendaki mengisytiharkan hartanya.

“Kedua, SPRM perlu mendapatkan penjelasan daripada beliau apabila apabila menemui sejumlah wang dan mengaitkannya dengan kes itu,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini. 

image is not available
Azam Baki - Gambar fail

Semalam, SPRM mendedahkan Ismail Sabri sedang disiasat kerana rasuah dan pengubahan wang haram. 

Fokus siasatan menjurus kepada perbelanjaan dan perolehan dana berkaitan kenaikan pangkat serta publisiti sepanjang beliau menyandang portfolio Perdana Menteri.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah merampas kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing, termasuk Thai Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan. 

Turut dirampas ialah 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai sekitar RM7 juta. 

Dalam sidang sama, Azam turut mengesahkan bahawa SPRM telah merekodkan kenyataan 31 individu manakala 13 akaun bank yang memiliki wang sekitar RM2 juta telah dibekukan. 

“Bagaimanapun, akaun milik Ismail Sabri dan Yayasan Keluarga Malaysia tidak terjejas oleh tindakan itu. Siasatan sedang dijalankan, dan kami bertindak berdasarkan maklumat baharu yang kami terima.

"Adalah amalan biasa di SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh, dan kami akan memanggil lebih banyak saksi mengikut keperluan,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 itu bukan sahaja tertumpu kepada projek yang sedang dijalankan, tetapi juga untuk mengenal pasti sesiapa sahaja yang mungkin mendapat manfaat daripada situasi itu, khususnya berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. - Getaran, 3 Mac 2025