
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Setakat ini, media belum dimaklumkan sama ada prosiding pendakwaan akan diteruskan di IJN atau ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Peguam yang mewakili Ismail Sabri, Ragunath Kesavan ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya akan didakwa pagi ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Ismail Sabri kini ditempatkan di IJN bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, sumber Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, pasukan pendakwaan akan hadir ke Mahkamah Sesyen terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan prosiding di IJN.
“Kami akan pergi ke mahkamah terlebih dahulu, tetapi berkemungkinan besar ke IJN,” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.-UTUSAN
The post Ismail Sabri masih dirawat di IJN appeared first on Utusan Malaysia.



