Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tak sekata, terus terima rawatan di IJN

LocalHealth & Fitness
7 Aug 2026 • 4:28 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai mengalami masalah degupan jantung tidak sekata atau ‘possible arrhythmia’ sehingga perlu dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Khamis.

Image from: Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tak sekata, terus terima rawatan di IJN

Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu dimaklumkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad yang berkata, doktor yang merawat Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun berkenaan mengesahkan keadaan tersebut dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Amer berkata demikian ketika memohon penangguhan prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Menurut beliau, Ismail Sabri dijadualkan menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung atau ‘pacemaker’ pada jam 2 petang Jumaat dan berkemungkinan perlu berada di wad untuk tempoh beberapa hari.

“Kami juga memohon agar 27 Ogos ditetapkan sebagai tarikh baharu untuk prosiding berkenaan.
“Memandangkan anak guam kami masih berada di bawah jaminan SPRM, tiada isu beliau akan melarikan diri.
“Mahkamah juga dialu-alukan untuk melawat beliau sekiranya perlu,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Ragunath Kesavan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan pihak pendakwaan telah memfailkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri selain memperoleh izin untuk mendakwanya.

Bagaimanapun, katanya, mengambil kira keadaan kesihatan ahli politik itu yang tidak mengizinkannya hadir ke mahkamah serta statusnya yang masih berada di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan atas dasar kemanusiaan.

Image from: Ismail Sabri mungkin alami degupan jantung tak sekata, terus terima rawatan di IJN

“Kami bersetuju, sebaik sahaja beliau dibenarkan keluar dari hospital dan disahkan sihat, pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan boleh dibuat pada 27 Ogos,” jelasnya.

Berdasarkan sistem kehakiman, prosiding pembacaan pertuduhan terhadap Ismail Sabri sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi Jumaat.

Bagaimanapun, berikutan keadaan kesihatan beliau, Suzana kemudian menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu bagi prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan.

Artikel lain: Ismail Sabri masih terima rawatan, mungkin didakwa di IJN berhubung perisytiharan harta

Pada prosiding itu, Farah Ezlin dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Sementara itu, Amer hadir bersama barisan peguam yang terdiri daripada Datuk Seri Rajan Navaratnam, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Aswath Ramakrishnan dan Sanjey G Sangkar.

Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved