KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, selepas keadaan kesihatannya dilaporkan merosot.
Peguam beliau, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata, perkembangan kesihatan itu menyebabkan pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan hasrat untuk membacakan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu di IJN.
Menurut beliau, keputusan untuk menjalankan prosedur berkenaan dibuat selepas Ismail Sabri mengalami komplikasi kesihatan ketika menghadiri sesi rakaman keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
“Beliau berada di ibu pejabat SPRM dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Ketika proses itu berlangsung, keadaan kesihatannya merosot sebelum dibawa ke IJN untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Susulan perkembangan tersebut, prosiding pertuduhan terhadap Ismail Sabri di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM) yang dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah ditangguhkan ke 27 Ogos ini.
Amer Hamzah turut memaklumkan bahawa Ismail Sabri sememangnya mempunyai sejarah masalah kesihatan.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu terjatuh kira-kira dua minggu lalu sehingga dimasukkan ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan.
Beliau juga dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan susulan pada Isnin depan. - Getaran, 7 Ogos 2026




