
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN) petang ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri selepas beliau bertemu dengan Ahli Parlimen Bera itu sebentar tadi.
“Beliau (Ismail Sabri) sedang berpuasa dan akan menjalani prosedur pacemaker (perentak jantung) selepas solat Jumaat nanti, mungkin sekitar pukul 2 atau 3 petang. Jadi harap kita semua dapat berdoa semuanya berjalan lancar dan akan sihat secepat mungkin,” katanya.
Mengulas lanjut, Amer Hamzah memberitahu
pihak pembelaan dimaklumkan pada awalnya pertuduhan terhadap Ismail Sabri mungkin akan dibacakan di IJN, namun perkara itu tidak praktikal kerana bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani prosedur berkenaan.
“Selepas semuanya selesai dan keadaan beliau stabil, kami sedia hadir ke mahkamah untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau. Buat masa ini, biarlah beliau menjalani prosedur itu terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu berhubung dengan keadaannya, peguam itu berkata, tempoh pemulihan Ismail Sabri bergantung kepada perkembangan kesihatannya, namun berharap anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat untuk hadir ke mahkamah pada 27 Ogos ini.
Tambahnya, fokus utama Ismail Sabri ketika ini adalah terhadap keadaan kesihatannya, walaupun beliau berhasrat membersihkan namanya daripada pertuduhan yang akan dihadapi.
Katanya Ismail Sabri mula mengalami masalah kesihatan ketika proses rakaman percakapan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
“Berdasarkan maklumat yang dimaklumkan pegawai SPRM kepada kami, beliau mula berasa pening ketika proses rakaman percakapan sedang berlangsung. SPRM mengambil tindakan segera membawanya ke IJN kerana setiap individu yang berada di bawah jagaan mereka ketika siasatan perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat,” kata peguam itu lagi.
Terdahulu prosiding pendakwaan terhadap Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.
Terdahulu media melaporkan Ismail mungkin akan didakwa di IJN) di bawah akta SPRM.
Pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan dijalankan di IJN yang akan diisytiharkan sebagai Mahkamah Sesyen.
Bagaimanapun, setakat ini butiran pertuduhan yang akan dikenakan terhadapnya belum diketahui.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE
The post Ismail Sabri akan jalani prosedur perentak jantung petang ini – Peguam appeared first on Kosmo Digital.





