Ismail Sabri selamat jalani prosedur jantung – IJN

LocalHealth & Fitness
7 Aug 2026 • 9:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ismail Sabri selamat jalani prosedur jantung – IJN

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) di Institut Jantung Negara (IJN), petang tadi.

IJN dalam kenyataan memaklumkan, prosedur itu dilakukan susulan masalah ritma jantung tidak normal yang dialami Ahli Parlimen Bera berkenaan.

Menurut IJN, Ismail Sabri dinasihatkan supaya berehat selepas menjalani prosedur berkenaan, manakala lawatan buat sementara waktu dihadkan kepada ahli keluarga terdekat.

“IJN dengan hormat memohon pihak media dan orang ramai supaya menghormati privasi Datuk Seri Ismail Sabri serta keluarganya sepanjang tempoh ini,” katanya.

Tambah IJN, sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan beliau akan dimaklumkan menerusi saluran yang dibenarkan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di IJN kerana masalah kesihatan.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE

The post Ismail Sabri selamat jalani prosedur jantung – IJN appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved