
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan didakwa di Institut Jantung Negara (IJN) di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu akan dijalankan di IJN yang akan diisytiharkan sebagai Mahkamah Sesyen.
Perkara itu disahkan oleh peguamnya Ragunath Kesavan ketika dihubungi media sebentar tadi.
Namun setakat pukul 9.15 pagi makluman mengenai pendakwaan di IJN itu belum diperoleh.
Terdahulu berdasarkan carian sistem mahkamah, Ismail akan didakwa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagaimanapun, setakat ini butiran pertuduhan yang akan dikenaman terhadapnya belum diketahui.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE
The post Ismail Sabri mungkin didakwa di IJN appeared first on Kosmo Digital.



