
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai membayar ikat RM300,000 di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.
Ismail Sabri, 66, selesai membayar ikat jamin itu pada pukul 11.45 pagi.
Terdahulu Ahli Parlimen Bera itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya iaitu jongkong emas dan beberapa mata wang asing.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 10 Januari 2025 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 7 Februari 2025.
Antara harta-harta itu ialah lima jongkong emas, sekeping perak serta sekeping syiling emas. Selain itu ialah wang tunai RM14.7 juta dan beberapa mata wang asing iaitu membabitkan SGD 6.1 juta, AS$1.5 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, AED34.7 juta dan AUD$352,850.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin kemudian membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September ini bagi sebutan kes. – KOSMO! ONLINE
The post Ismail Sabri selesai bayar jamin RM300,000 appeared first on Kosmo Digital.






