Ismail Sabri tinggalkan mahkamah, anak bayar ikat jamin RM300,000!

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 2:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan kompleks mahkamah di sini hari ini selepas anaknya menyelesaikan bayaran ikat jamin berjumlah RM300,000 yang dikenakan terhadap beliau.

Image from: Ismail Sabri tinggalkan mahkamah, anak bayar ikat jamin RM300,000!

Foto: Buletin TV3

Memetik laporan Harian Metro, Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai pertuduhan yang dihadapinya dan menyerahkan perkara tersebut kepada pasukan guaman yang diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad.

Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ismail Sabri hanya menjawab: “Ya.”

Beliau kemudiannya meluangkan masa bersalaman serta menyapa penyokong yang hadir dari Bera bagi memberikan sokongan. Mereka dilaporkan menunggu lebih dua jam di luar lobi kompleks mahkamah.

Antara yang turut kelihatan ialah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.

Ismail Sabri kemudiannya diiringi penyokong sebelum menuju ke kenderaannya.

Seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Rohaina berkata, dia berasa lega melihat keadaan kesihatan Ismail Sabri semakin baik selepas bekas Perdana Menteri itu berdepan masalah kesihatan beberapa minggu lalu.

“Saya lega melihat beliau sudah kembali pulih tetapi sedih kerana beliau terpaksa menghadapi pertuduhan di mahkamah. Saya berharap beliau akan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin selepas beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Notis berkenaan menghendaki beliau membuat pengisytiharan aset seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Dalam prosiding sama, Suzana menolak permohonan pihak pendakwaan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan beliau berisiko melarikan diri dari negara ini.

Ismail Sabri tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi bersama isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta anak-anak, termasuk penyanyi Dafi. Kehadiran beliau kemudian disertai penyokong dan ahli keluarga lain.

Image from: Ismail Sabri tinggalkan mahkamah, anak bayar ikat jamin RM300,000!

Beliau kelihatan tenang ketika berada di galeri awam sambil berbual bersama adik-beradik serta penyokongnya. Khairy, Adnan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, turut hadir mengikuti prosiding.

Suasana di galeri awam turut dipenuhi wartawan dan anggota keselamatan, dengan kemasukan hanya dibenarkan kepada individu yang memiliki pas mahkamah yang sah.

Mengenakan sut hitam, Ismail Sabri memasuki kandang tertuduh pada jam 9.38 pagi sebelum Suzana mengarahkan pertuduhan dibacakan kepadanya.

Beliau kemudian menyatakan memahami pertuduhan tersebut dan memilih untuk dibicarakan.

Butiran pertuduhan turut dipaparkan menerusi skrin televisyen di dalam mahkamah. Ismail Sabri dilihat membaca serta meneliti kandungan berkenaan, termasuk butiran mengenai mata wang asing yang didakwa terbabit.

Selesai prosiding, beberapa penyokong menghampiri beliau untuk menyampaikan kata-kata sokongan sebelum Ismail Sabri dibawa ke bilik tahanan sementara yang terletak bersebelahan bilik mahkamah.

Dalam pada itu, anaknya bersama peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, menuju ke kaunter bayaran ikat jamin bagi menyelesaikan jumlah yang ditetapkan.

Artikel lain: Ismail Sabri didakwa gagal isytihar harta RM14 juta, mata wang asing dan 5kg jongkong emas

Sementara itu, Amer Hamzah berkata keadaan kesihatan anak guamnya semakin pulih selepas menjalani prosedur pemasangan perentak jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Ismail Sabri juga dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan.

“Saya lega tiada apa-apa perkara buruk berlaku hari ini. Marilah kita terus berdoa untuk kesihatan beliau,” katanya.

Mengulas perasaan Ismail Sabri berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, Amer Hamzah berkata: “Tiada siapa yang suka didakwa, terutama apabila anda percaya pertuduhan itu tidak berasas dan mempunyai asas yang kukuh.”

Sumber: Harian Metro (Dawn Chan)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved