amree16/11/2026 - 12:30 ISMAIL SABRI Yaacob menerima ijazah PhD pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 di Sintok, Kedah. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Bekas Perdana Menteri yang kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi kajian yang mendokumentasikan pengalaman Malaysia mengurus krisis pandemik Covid-19 dari sudut akademik.
Beliau menerima ijazah berkenaan pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 yang disempurnakan sendiri oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, di Dewan Mu'adzam Shah.
Tokoh berkenaan merupakan antara seramai 451 graduan yang menerima ijazah sarjana dan PhD dalam majlis berkenaan, sekali gus melengkapkan perjalanan akademiknya selepas lebih empat dekad memperoleh ijazah pertama.
Tesis penyelidikan beliau bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik Covid-19, yang meneliti pendekatan negara dalam menangani krisis kesihatan sepanjang tempoh berkenaan.

"Kajian berkenaan diselia oleh Prof Dr Rusdi Omar dan Prof Madya Dr Che Mohd Aziz Yaacob, manakala Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw pula bertindak sebagai penyelia luar tesis tersebut," menurut kenyataan pada Isnin.
Tempoh kajian merangkumi pengalaman Ismail Sabri ketika menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan bermula 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri dari 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022.
Kejayaan beliau memperoleh PhD pada 2026 itu turut melengkapkan latar belakang akademiknya yang bermula dengan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) di Universiti Malaya dari 1980 hingga 1984. Beliau kemudian diterima masuk sebagai peguam pada 1985.
Sebelum ini, beliau turut pernah menerima Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Nihon, Jepun pada 2022.

Dalam kerjaya pentadbiran, Ismail Sabri pernah memegang pelbagai portfolio Kabinet, termasuk Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Beliau turut pernah menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dari Mac 2019 hingga Februari 2020, selain memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera sejak 2004 dan Naib Presiden UMNO dari 2018 hingga 2023.
Majlis konvokesyen berkenaan turut disaksikan Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah UUM, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim. - DagangNews.com





