Ismail tadbir kerajaan dua bulan tanpa Exco

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ismail tadbir kerajaan dua bulan tanpa Exco

SEREMBAN – Selepas lebih tiga bulan berdepan kemelut politik termasuk terpaksa meneruskan pentadbiran tanpa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Ismail Lasim akhirnya melepaskan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa kelmarin.

Keputusan itu sekali gus menamatkan teka teki mengenai kedudukan beliau yang sebelum ini hangat diperkatakan susulan kemelut politik dan krisis institusi diraja negeri.

Ismail, 67, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 pada 2 Ogos lalu dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan ke Istana Hinggap, di sini pada pukul 12.16 tengah malam semalam.

Peletakan jawatan Ismail dimaklumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd. Kadir yang menyatakan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.

Surat itu dimaklumkan telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd. Rizam Md Ladin berkata, pentadbiran Negeri Sembilan berdepan cabaran besar hampir dua bulan apabila beroperasi tanpa barisan Exco yang lengkap.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan banyak urusan kerajaan tergendala, sekali gus menjejaskan kelancaran jentera pentadbiran negeri selain persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat diadakan.

Katanya, situasi berkenaan berlaku susulan pembatalan pelantikan 10 Exco oleh Tuanku Muhriz, berkuat kuasa 20 September lalu.

Katanya, Ismail bukan dipecat sebaliknya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar atas kerelaan sendiri menerusi surat bertarikh 16 November yang diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

“Peletakan jawatan beliau dilihat dapat memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk memulihkan kestabilan politik negeri selepas kemelut antara istana dan kerajaan negeri yang berlarutan sekian lama,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam pada itu, Pengelola Bijaya Diraja memaklumkan Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail yang dikatakan telah ditandatangani beliau.

Menurutnya, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat per­kenan baginda.

Katanya, surat peletakan jawatan berkenaan dihantar ke Istana Hinggap di sini, pada pukul 12.16 tengah malam semalam yang ­diserahkan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

“Istana Negeri Sembilan turut menjelaskan bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan per­kenan kepada Ismail untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar menerusi aplikasi WhatsApp pukul 8.38 malam, 16 November, sebagaimana yang dipohon.

“Sesi menghadap berkenaan ditetapkan pada pukul 10 pagi, Jumaat, 20 November 2026,” ­katanya.

Istana turut menjelaskan perkenan menghadap itu diberikan lebih awal 80 minit sebelum kenyataan Zambry berhubung peletakan jawatan pada pukul 10 malam kelmarin.

Sementara itu, Ismail me­minta semua pihak agar memberikannya ruang beberapa hari susulan keputusan meletakkan jawatan sebagai peneraju kerajaan negeri berkuat kuasa Isnin.

“Maaf, tak ada PC (sidang akhbar) atau kenyataan media daripada saya. Terima kasih. Tak usah cari saya untuk beberapa hari ini,” katanya menerusi mesej ringkas semalam.

Dalam pada itu, anak kepada Ismail dalam hantaran di akaun Instagram @naimismaill_ mempersoalkan kenyataan dikeluarkan pihak lain berhubung perletakan jawatan bapanya sama ada adakah ia atas arahan parti.

“Siapa yang keluarkan ke­nyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?,” dakwanya.

Dakwanya, dari awal lagi segala arahan parti telah dipatuhi, namun mengecewakan apabila ia berakhir begini selain turut mengingatkan pihak tertentu tidak menjadikan orang lain sebagai kambing hitam demi kepentingan masing-masing.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberitahu, kepimpinan BN dan PN bersetuju untuk mematuhi apa juga keputusan yang bakal dibuat pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung pelantikan Menteri Besar baharu.

Menurutnya, pelantikan pengganti MB tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh mengangkat sumpah jawatan MB Negeri Sembilan ke-9 selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri dengan majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri lalu.

The post Ismail tadbir kerajaan dua bulan tanpa Exco appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved