
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini anak kepada Datuk Ismail Lasim, Naim Ismail telah bertindak mempersoalkan parti Barisan Nasional (BN) yang mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan bapanya sebagai Menteri Besar.
Naim turut meluahkan rasa kesal serta meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa Ismail sudah mematuhi setiap arahan parti namun akhirnya nasib tidak memihak kepada menteri besar berkenaan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: “Siapa Keluar Kenyataan Mahu Letak Jawatan?” – Isu Peletakan Jawatan MB N9: Anak Ismail Lasim Persoal BN
Ahmad Zahid bidas tindakan anak Ismail Lasim campuri isu MB N9, sifatkan ia babitkan pentadbiran negeri
Terbaharu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil menegur tindakan anak Ismail yang mencampuri isu Menteri Besar Negeri Sembilan ekoran kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Kata Ahmad Zahid, isu tersebut sepatutnya dilihat perkara yang melibatkan pentadbiran negeri serta ia bukannya sepatutnya dikaitkan dengan hubungan antara bapa dan anak.
“Itu jadi masalah! Isu pentadbiran negeri, anak beranak campur ni apa hal?
“Ini soal Menteri Besar, bukan soal bapanya Ismail Lasim,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, lapor Sinar Harian.
Ismail Lasim masih meneruskan tugas sebagai MB seperti biasa
Dalam pada itu, Ismail Lasim dilihat masih meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar negeri itu seperti biasa.
Malah di Facebook, beliau turut berkongsi fotonya yang berada di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUK) ketika pertemuan dengan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia yang baharu, Akhmal Abu Basar.
Mohd. Fasha Musthafa yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada MB Negeri Sembilan turut mengesahkan Ismail bertugas serta masuk ke pejabat seperti biasa, lapor Kosmo.
Pun begitu, tidak dapat disahkan sama ada Ismail terus menjalankan tugas berkenaan atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Puad persoal beberapa perkara mengenai perletakan jawatan Ismail Lasim
Terdahulu bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil mempersoalkan beberapa perkara mengenai perletakan jawatan Ismail Lasim sebagai Menteri Besar yang disifatkan mengelirukan.
“Perletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar masih mengelirukan. Pertama kenapa BN yang umumkan. Kedua, kenapa mendahului perkenan Yang di-Pertuan Besar? Ketiga, penafian oleh anak Ismail (mestilah Ismail tahu apa yang anak dia akan tulis) dan keempat Pengelola Bijaya Diraja berkata, istana hanya maklum melalui siaran di media sosial sahaja.
“Bermakna perletakan jawatan Ismail tidak teratur. Apakah Ismail menjadi mangsa? Diharap dengan keputusan letak jwatan itu beri ruang kepada Ismail bertindakn berani dedah cerita sebenar.
“Terutama siapa yang memaksa dia. Siapa dalang. Ismail mesti berkorban untuk memastikan UMNO tidak jadi mangsa mainan politik. Kebangkitan UMNO tidak boleh terhenti kerana agenda puak tertentu. Ismail tidak rugi apa-apa demi kebangkitan tulin UMNO.
“Dia mesti ambil peluang ini untuk membetulkan UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Puad sifatkan kenyataan anak Ismail buka 1,001 persoalan
Menurut Puad lagi, kenyataan anak Ismail turut membuka 1,001 persoalan dengan kenyataan “Bapanya tidak patut jadi kambing hitam demi kepentiingan pihak tertentu. Jangan samapi orang sendiri diperlakukan macam ni.”






