
GAZA: Penolakan Israel terhadap pelan 15 perkara Gaza yang dikemukakan Lembaga Keamanan dilihat membuka ruang kepada Tel Aviv untuk meneruskan agenda mengukuhkan kawalannya di wilayah Palestin itu.
Radio Tentera Israel melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, secara rahsia meluluskan kerja pemulihan infrastruktur asas di timur Rafah.
Buruh Palestin akan dibenarkan menjalankan kerja di kawasan berkenaan selepas menjalani pemeriksaan keselamatan oleh Shin Bet.
Bagaimanapun, projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif penempatan sementara ‘Rafah Hijau’. Pakar bimbang pembinaan tersebut bukan bantuan kemanusiaan sebenar, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kehadiran tentera Israel di Gaza dan memecahkan wilayah itu.
Israel turut didakwa menangguhkan penghantaran karavan untuk menempatkan penduduk di kawasan berkenaan sehingga pilihan raya Oktober, meskipun perjanjian gencatan senjata dicapai pada Oktober 2025.
Sementara itu, beberapa media yang memetik pegawai Amerika Syarikat (AS) melaporkan, tentera Israel tidak menerima arahan untuk menghentikan persiapan bagi fasa kedua perjanjian berkenaan.
Pangkalan pertama untuk Pasukan Penstabilan Antarabangsa di bawah Lembaga Keamanan dilaporkan akan mula dibina di Rafah menjelang akhir Ogos.
Netanyahu kini dihimpit tekanan daripada sekutu AS supaya meneruskan fasa kedua, selain desakan sekutu politik berhaluan kanan untuk memperluaskan penguasaan Israel di Gaza menjelang pilihan raya.
Walaupun serangan berkurangan, keganasan masih berlaku di Gaza apabila tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin di Deir el-Balah minggu lalu.
Sekurang-kurangnya lima lagi rakyat Palestin cedera dalam beberapa insiden, termasuk serangan kereta kebal Israel terhadap khemah di Khan Younis serta kejadian tembakan di al-Mawasi serta Gaza City.- AL JAZEERA
The post Israel guna ‘pintu belakang’ kawal Gaza appeared first on Utusan Malaysia.





