KUALA KANGSAR - Istana hendaklah menjadi tempat yang menyatukan, bukannya gelanggang yang membesarkan perbezaan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Baginda mengingatkan ahli Dewan Negara Perak dan pembesar istana supaya menjauhi pertelingkahan, perebutan pengaruh serta budaya berpuak-puak yang boleh menjejaskan keharmonian.
Sultan Nazrin bertitah, sekiranya timbul perselisihan, perkara itu perlu diselesaikan melalui perundingan yang jujur dan beradab, selain mengamalkan syura serta mendengar pandangan antara satu sama lain.
"Utamakan kepentingan negeri mengatasi kehendak peribadi. Jangan kerana mahu mempertahankan kedudukan sendiri, amanah yang lebih besar diabaikan," titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin bertitah, ahli Dewan Negara dan pembesar istana perlu memahami peranan institusi Raja dalam kerangka raja berperlembagaan, termasuk menghormati batas kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.
Baginda menegaskan bahawa kerjasama dengan kerajaan dan institusi negeri perlu dilaksanakan secara profesional tanpa mencampuri urusan pentadbiran atau menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik kepartian.
"Istana hendaklah terus dihormati sebagai institusi yang menaungi rakyat dan memayungi seluruh negeri.
"Kepercayaan rakyat terhadap institusi raja akan bertambah kukuh apabila mereka melihat pembesar-pembesarnya berkhidmat dengan amanah, bersikap adil dan menjaga tutur kata," titah baginda.
Selain itu, baginda mengingatkan bahawa adat istiadat yang diwarisi merupakan khazanah yang mencerminkan sejarah, jati diri dan kebijaksanaan generasi terdahulu, justeru perlu dipelihara dengan penuh penghormatan.
Baginda turut menegaskan bahawa pembesar istana perlu sentiasa menambah ilmu, memahami perubahan dalam masyarakat dan memanfaatkan teknologi secara berhemah bagi memperkemas cara bekerja.
"Tradisi akan terus dihormati apabila pendukungnya mampu memelihara nilai yang baik serta menyesuaikan pelaksanaannya dengan keperluan semasa.
"Jadilah teladan kepada keluarga, pegawai, kakitangan dan masyarakat. Buktikan bahawa orang yang dekat dengan raja juga dekat dengan tanggungjawab, orang yang diberi penghormatan juga tahu menghormati orang lain," titah baginda.






