Jangan jadikan pengaruh istana jalan kaut untung peribadi – Sultan Nazrin

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 4:53 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan Ahli Dewan Negara Perak dan pembesar istana agar tidak menggunakan nama raja, pengaruh istana serta gelaran yang disandang sebagai jalan memperoleh keuntungan peribadi atau peluang perniagaan.

Image from: Jangan jadikan pengaruh istana jalan kaut untung peribadi – Sultan Nazrin

Baginda turut menitahkan golongan berkenaan supaya tidak membiarkan diri diperalatkan pihak tertentu untuk memberikan bantuan secara tidak wajar, melakukan perkara meragukan atau menekan mana-mana pihak.

Menurut titah baginda, rasuah, salah guna kuasa dan perbuatan yang boleh mengundang keraguan sehingga menjejaskan nama baik takhta serta istana mesti dijauhi.

“Jangan benarkan kedudukan dijadikan alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-175 di Istana Iskandariah.

Dalam titah sama, baginda mengingatkan Ahli Dewan Negara dan pembesar istana supaya menjaga pertuturan serta tingkah laku, termasuk ketika menggunakan media sosial.

“Ahli Dewan Negara dan pembesar istana hendaklah berhati-hati dalam pertuturan dan tindakan. Perkara yang diamanahkan sebagai rahsia hendaklah dipelihara. Maklumat yang belum dipastikan kesahihannya jangan disebarkan.
“Sesuatu pandangan hendaklah disampaikan dengan tertib, tanpa membuka ruang kepada fitnah dan persengketaan. Dalam dunia hari ini, sepatah kata atau satu rakaman yang disebarkan melalui media sosial boleh menimbulkan pelbagai tafsiran,” titah baginda.

Baginda turut menyeru mereka menjauhi pertelingkahan, persaingan merebut pengaruh dan amalan berpuak-puak, di samping memastikan hubungan dengan rakyat sentiasa terpelihara.

Sultan Nazrin bertitah, rakyat perlu diberi ruang menyuarakan masalah tanpa rasa takut atau berdepan halangan, khususnya warga emas, orang kurang upaya, anak yatim, keluarga yang dihimpit kesempitan hidup serta golongan terpinggir.

“Pelihara hubungan baik dengan semua lapisan masyarakat. Negeri ini didiami oleh rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Hormati kepelbagaian itu dan bekerja untuk memperkukuh perpaduan, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang,” titah baginda.

Menyentuh hubungan dengan kerajaan dan institusi negeri, baginda menitahkan supaya kerjasama dilaksanakan secara profesional dengan menghormati batas kuasa serta tanggungjawab masing-masing.

Kedudukan yang disandang juga tidak seharusnya digunakan untuk mencampuri urusan pentadbiran atau memenuhi kepentingan politik kepartian.

Pada masa sama, baginda mengingatkan mereka supaya terus meningkatkan pengetahuan berkaitan tugas, memahami perubahan masyarakat, memperkemas kaedah bekerja dan menggunakan teknologi secara berhemah.

Sultan Nazrin turut menitipkan pesanan agar setiap pembesar menunjukkan teladan yang baik kepada keluarga, pegawai, petugas dan masyarakat.

“Buktikan bahawa orang yang dekat dengan raja juga dekat dengan tanggungjawab, orang yang diberi penghormatan juga tahu menghormati orang lain,” titah baginda.

Sumber: MalaysiaGazette

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved