Jangan guna nama raja, pengaruh istana untuk kepentingan peribadi

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 4:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan guna nama raja, pengaruh istana untuk kepentingan peribadi

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan ahli-ahli Dewan Negara, juga para pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama Raja, pengaruh istana atau gelaran yang disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

Mereka juga diingatkan supaya tidak menggunakan kedudukan tersebut untuk mencari laba dan peluang perniagaan, atau membenarkan diri diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa.

Baginda menitahkan mereka supaya jauhilah rasuah, jauhi salah guna kuasa dan jauhi sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta boleh mencemarkan nama baik takhta dan istana.

“Kedudukan yang dikurniakan hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti. Jangan benarkan kedudukan dijadikan alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-175 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar hari ini.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah, baginda tidak memerlukan orang di sekeliling yang hanya mengiakan setiap perkara atau menyampaikan hanya apa yang menyenangkan pendengaran baginda.

Sebaliknya, baginda memerlukan ahli Dewan Negara dan para pembesar istana yang berani menasihati dengan hikmah, menegur dengan adab, serta mengemukakan pandangan berdasarkan ilmu dan fakta.

Titah baginda, jika sesuatu perkara itu baik, nyatakanlah kebaikannya dan jika terdapat kelemahan atau risiko, jelaskanlah dengan jujur dan bertanggungjawab.

“Kesetiaan yang sebenar membantu Raja membuat keputusan yang adil, tepat lagi bijaksana.

“Keberanian untuk menyatakan kebenaran, apabila disertai adab dan niat yang ikhlas, ialah tanda kesetiaan yang tinggi nilainya. Insaflah! setiap amanah akan dipersoalkan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, ahli-ahli Dewan Negara dan para pembesar istana hendaklah berhati-hati dalam pertuturan dan tindakan.

Baginda bertitah, perkara yang diamanahkan sebagai rahsia hendaklah dipelihara, maklumat yang belum dipastikan kesahihannya jangan disebarkan.

Titah baginda, sesuatu pandangan hendaklah disampaikan dengan tertib, tanpa membuka ruang kepada fitnah dan persengketaan kerana dalam dunia hari ini, sepatah kata atau satu rakaman yang disebarkan melalui media sosial boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

“Oleh itu, setiap seorang daripada kita hendaklah sentiasa berwaspada dan bijaksana dalam berkomunikasi, terutama ketika menggunakan saluran dan platform media sosial,” titah baginda.

Baginda mengingatkan ahli-ahli Dewan Negara dan para pembesar istana hendaklah menjauhi pertelingkahan, perebutan pengaruh dan budaya berpuak-puak kerana istana hendaklah menjadi tempat yang menyatukan, bukan gelanggang yang membesarkan perbezaan.

“Jika timbul perselisihan, selesaikanlah melalui perundingan yang jujur dan beradab. Amalkan syura, dengarkan pandangan sesama sendiri, dan utamakan kepentingan negeri mengatasi kehendak peribadi. Jangan kerana mahu mempertahankan kedudukan sendiri, amanah yang lebih besar diabaikan,” titah baginda. – UTUSAN

 

The post Jangan guna nama raja, pengaruh istana untuk kepentingan peribadi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved