Jangan hanya mengiayakan setiap perkara, perlu berani nasihat, tegur berdasarkan ilmu dan fakta: Sultan Nazrin

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 5:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Jangan hanya mengiayakan setiap perkara, perlu berani nasihat, tegur berdasarkan ilmu dan fakta: Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menegaskan baginda tidak memerlukan orang di sekeliling yang hanya mengiayakan setiap perkara atau menyampaikan apa yang menyenangkan pendengaran baginda sahaja.

Sebaliknya Sultan Nazrin bertitah baginda memerlukan Ahli Dewan Negara negeri Perak dan pembesar istana yang berani menasihati dengan hikmah, menegur dengan adab, serta mengemukakan pandangan berdasarkan ilmu dan fakta.

“Jika sesuatu perkara itu baik, nyatakanlah kebaikannya dan jika terdapat kelemahan atau risiko, jelaskanlah dengan jujur dan bertanggungjawab.

“Kesetiaan yang sebenar membantu Raja membuat keputusan yang adil, tepat lagi bijaksana dan keberanian untuk menyatakan kebenaran, apabila disertai adab dan niat yang ikhlas, ialah tanda kesetiaan yang tinggi nilainya. Insaflah! setiap amanah akan dipersoalkan,’’ titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-175 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Sultan Nazrin turut mengingatkan Ahli Dewan Negara dan pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama Raja, pengaruh istana atau gelaran yang disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, mencari laba dan peluang perniagaan atau membenarkan diri diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa.

Pada masa sama, titah baginda, selain menjauhi rasuah dan salah guna kuasa, mereka juga ingatkan tidak membenarkan kedudukan yang ada untuk dijadikan alat bagi meminta keistimewaan, mengumpul kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab.

Ahli-ahli Dewan Negara negeri Perak dan pembesar istana juga titah Sultan Nazrin hendaklah berhati-hati dalam pertuturan dan tindakan dengan pekara yang diamanah sebagai rahsia hendaklah dipelihara.

“Maklumat yang belum dipastikan kesahihannya jangan disebarkan dan sesuatu pandangan hendaklah disampaikan dengan tertib, tanpa membuka ruang kepada fitnah dan persengketaan.

“Dalam dunia hari ini, sepatah kata atau satu rakaman yang disebarkan melalui media sosial boleh menimbulkan pelbagai tafsiran justeru setiap seorang daripada kita hendaklah sentiasa berwaspada dan bijaksana dalam berkomunikasi, terutama ketika menggunakan saluran dan platform media sosial,’’ titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Ahli Dewan Negara dan pembesar istana supaya menjauhi pertelingkahan, perebutan pengaruh dan budaya berpuak-puak malah jika berlaku perselisihan, ia perlu diselesaikan melalui perundingan yang jujur dan beradab.

“Amalkan syura, dengarkan pandangan sesama sendiri, dan utamakan kepentingan negeri mengatasi kehendak peribadi. Jangan kerana mahu mempertahankan kedudukan sendiri, amanah yang lebih besar diabaikan,’’ titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan Ahli-ahli Dewan Negara dan pembesar istana supaya sentiasa dekat dengan rakyat serta memahami kehidupan, mendengar keluhan dan menyantuni mereka dengan penuh hormat.

Selain itu, mereka juga perlu memahami peranan institusi Raja dalam kerangka raja berperlembagaan selain menghormati batas kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.

“Bekerjasamalah dengan kerajaan dan institusi negeri secara profesional, tanpa mencampuri urusan pentadbiran atau menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik kepartian.

“Istana hendaklah terus dihormati sebagai institusi yang menaungi rakyat dan memayungi seluruh negeri. Kepercayaan rakyat terhadap institusi raja akan bertambah kukuh apabila mereka melihat pembesar-pembesarnya berkhidmat dengan amanah, bersikap adil dan menjaga tutur kata,’’ katanya. - 29 Oktober, 2026

The post Jangan hanya mengiayakan setiap perkara, perlu berani nasihat, tegur berdasarkan ilmu dan fakta: Sultan Nazrin appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved