
SHAH ALAM – Pentadbiran Istana Selangor tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes penyamaran sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.
Individu terbabit dipercayai menggunakan kedudukan tersebut untuk meyakinkan orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah bagi meraih keuntungan peribadi.
Pejabat Sultan Selangor berkata, pentadbiran Istana Selangor mengambil maklum laporan polis berhubung kes berkenaan dan memandang serius perkara itu.
“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini.
“Justeru, menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang awam turut diminta membuat semakan dengan Pentadbiran Istana Selangor sekiranya terdapat dakwaan individu tertentu mempunyai kedudukan atau kaitan dengan istana bagi menjalankan sebarang urusan.
Terdahulu, tular di platform Threads dakwaan seorang lelaki menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit RMS bagi memperdayakan orang awam menerusi urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk meraih keuntungan peribadi. – KOSMO! ONLINE
The post Istana tidak lindungi penyamar pengawal peribadi sulit RMS appeared first on Kosmo Online.






