Penipuan Urus Niaga Tanah, Kereta Mewah: Istana Selangor Beri Amaran, Jangan Mudah Terpedaya 

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 4:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang mendakwa mempunyai hubungan dengan kerabat diraja bagi meyakinkan orang ramai menyertai urus niaga tanah dan kereta mewah.

Peringatan itu dikeluarkan Istana Selangor, susulan kes membabitkan individu disyaki menyamar sebagai pengawal peribadi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, untuk memperdaya orang ramai demi kepentingan peribadi.

Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihak istana mengambil maklum kes berkenaan, termasuk laporan polis yang telah dibuat berhubung dakwaan penyamaran itu.

Image from: Penipuan Urus Niaga Tanah, Kereta Mewah: Istana Selangor Beri Amaran, Jangan Mudah Terpedaya 

Menurut kenyataan tersebut, individu terbabit dipercayai menggunakan nama dan kaitannya dengan institusi diraja bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai dalam urusan jual beli tanah serta kenderaan mewah.

“Pihak istana memandang serius perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh dan telus.

“Pentadbiran istana tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pentadbiran Istana Selangor sekiranya berdepan individu yang mendakwa mempunyai hubungan dengan institusi diraja.

Langkah tersebut penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan, terutama sebelum bersetuju dengan sebarang urus niaga atau menyerahkan wang kepada pihak terbabit.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan jumlah kerugian yang didakwa berlaku, bilangan individu yang terjejas atau jika suspek telah ditahan polis. - Getaran, 19 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved