Isteri aktif konvoi, tinggal suami urus rumah tangga

Family & ParentingLifestyle
7 Aug 2026 • 11:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Isteri aktif konvoi, tinggal suami urus rumah tangga

DAHULU, lelaki itu menjadi insan paling kuat menyokong minat isterinya terhadap motosikal.

Namun tidak pernah terlintas di fikirannya, aktiviti disukai wanita itu sejak remaja akhirnya menjadi punca keretakan rumah tangga yang mereka bina hampir sedekad.

Bagi Niezam (bukan nama sebenar), kecintaan isterinya terhadap dunia permotoran bukan sesuatu yang asing kerana dia sudah mengetahui minat itu sebelum mereka bergelar suami isteri.

Malah selepas berkahwin, dia masih memberi ruang dan sokongan kerana percaya setiap individu berhak memiliki minat sendiri.

Namun, sokongan yang diberikan dengan penuh keikhlasan itu, akhirnya berubah menjadi rasa kecewa.Ini selepas, aktiviti konvoi motosikal yang pada awalnya sekadar mengisi masa lapang semakin menguasai kehidupan isterinya.

Bercerita kepada K-Wanita, Niezam, 42, berkata, dia tidak pernah menghalang isterinya menyertai acara permotoran kerana memahami keterujaan wanita itu apabila bersama rakan-rakannya.

“Saya tahu, itu dunia dia sejak muda. Saya tidak mahu jadi suami yang mengongkong.

“Saya cuma mahu dia tahu, selepas berkahwin ada tanggungjawab yang perlu diseimbangkan dengan hobi,” katanya dalam nada kesal.

Menurutnya, perubahan mula dirasakan apabila konvoi yang dahulunya dilakukan sekali-sekala bertukar menjadi rutin hampir setiap minggu.

Katanya, isterinya semakin kerap menyertai perhimpunan besar peminat motosikal sehingga banyak masa bersama keluarga mula terkorban.

“Dulu, hujung minggu menjadi waktu untuk kami berkumpul bersama.

“Lama-lama, saya lebih banyak menunggu bersama dua anak di rumah kerana dia sibuk dengan konvoi, persiapan motosikal dan acara yang disertainya,” katanya.

Menurut anak jati Sanglang, Perlis itu, keadaan menjadi lebih teruk apabila beberapa tanggungjawab dalam rumah tangga mula terabai kerana perhatian isterinya lebih banyak tertumpu kepada dunia permotoran.

Niezam juga mengakui, dia pernah beberapa kali berbincang secara baik, bukan menyuruh isterinya meninggalkan minat tersebut, tetapi mencari jalan tengah demi mempertahankan rumah tangga.

Namun, setiap teguran yang diberikan sering disifatkan sebagai cubaan menyekat kebebasan isterinya.

Menurut Niezam, jurang antara mereka semakin luas apabila komunikasi tidak lagi seperti dahulu kerana masing-masing mula membawa haluan sendiri.

Selepas lama berdepan konflik yang sama, Niezam akhirnya membuat keputusan untuk berpisah apabila merasakan hubungan mereka tidak lagi mampu diselamatkan.

Katanya, perceraian itu berlaku disebabkan kekecewaan yang timbul dalam dirinya sedikit demi sedikit.

Niezam mengakui, ada ketikanya, dia menyalahkan diri sendiri kerana terlalu memberi ruang kepada isterinya untuk mengejar minat tersebut.

Namun dia percaya, itu semua adalah takdir Ilahi yang sudah tertulis buatnya.

The post Isteri aktif konvoi, tinggal suami urus rumah tangga appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved