Isteri curiga transaksi berulang, warga maya syak aktiviti judi dalam talian

20 Jun 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isteri curiga transaksi berulang, warga maya syak aktiviti judi dalam talian
Seorang wanita meluahkan kebimbangan terhadap transaksi kewangan dipercayai milik suaminya yang didakwa berlaku berulang kali setiap bulan dengan jumlah yang sama.

SHAH ALAM – Seorang wanita meluahkan kebimbangan terhadap transaksi kewangan dipercayai milik suaminya yang didakwa berlaku berulang kali setiap bulan dengan jumlah yang sama.

Perkongsian tersebut tular di platform Threads sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga maya.

Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan memuat naik paparan transaksi bank dan meminta pandangan pengguna lain mengenai jenis syarikat yang terlibat.

"Wife to everyone; agak-agak transaction ni company apa eh. Tiap-tiap bulan mesti ada dan transfer amount yang sama tetapi banyak kali. Kenapa tak transfer terus amount besar? Anyone help a wife out here. Sedih bulan ni duit susu dan pampers anak tak hulur walau sesen pun," tulisnya.

Sebahagian besar warga maya mendakwa corak transaksi tersebut menyerupai aktiviti perjudian dalam talian.

Antara komen yang ditinggalkan termasuklah dakwaan daripada individu yang pernah berurusan dengan kes serupa.

"Judi online. Saya pernah nampak transaksi seperti ini dalam penyata bank pelanggan yang memohon pinjaman," kata seorang pengguna.

Seorang lagi warga maya yang mendakwa bekas isteri kepada kaki judi turut berkongsi pengalaman sama.

"Online gambling. Saya bekas isteri kepada seorang penagih judi," tulisnya ringkas.

Malah, ada juga warga maya yang mendakwa transaksi berulang pada waktu awal pagi merupakan antara petanda ketagihan judi dalam talian dan mengingatkan bahawa akaun bank boleh dibekukan sekiranya dikesan terlibat dengan aktiviti tersebut.

Selain itu, beberapa daripada pengguna berkenaan turut menasihatkan wanita itu supaya berbincang dengan suaminya dan mendapatkan kepastian mengenai transaksi yang berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

Seorang daripada mereka juga ada mencadangkan beberapa aplikasi untuk mengetahui sama ada transaksi itu merupakan judi atau tidak.

Perkongsian itu bagaimanapun terus meraih perhatian warga maya dengan ramai berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan isu ketagihan judi dalam talian dan kesannya terhadap institusi keluarga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved