
SHAH ALAM, 19 OGOS: EXCO Agama Islam menegaskan prinsip dan dasar 'you do this, you go' ke atas sebarang insiden gangguan seksual yang didakwa berlaku di sekolah agama di negeri ini.
Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah lagi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah membuat tindakan sewajarnya dalam mengekang insiden itu, selain pengurusan sekolah juga diminta bertindak tegas.
"Pihak sekolah perlu tegas dan melaksanakan polisi tidak kompromi dan dasar 'You do this, you go'," tegasnya.
Tambahnya, JAIS juga turut terbuka menerima sebarang aduan daripada ibu bapa atau mana-mana pihak terhadap sebarang insiden gangguan seksual melibatkan pelajar di asrama.
"JAIS sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan daripada para pelajar atau dari mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang elemen atau potensi atau tanda berkaitan kemungkinan boleh berlaku insiden gangguan atau amang seksual di sekolah atau di asrama.
“Tindakan undang-undang yang wajar akan segera diambil dan tiada kompromi kepada mana-mana pesalah. Sekolah harus menjadi tempat selamat kepada anak-anak kita," katanya.
Beliau turut menzahirkan kekesalan atas kejadian serta yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden amang seks songsang yang dilaporkan berlaku di sekolah agama.
"Pentadbiran ini ingin menzahirkan kekesalan terhadap insiden amang seks songsang melibatkan guru kepada pelajar. Lebih malang perkara ini berlaku di sekolah agama di mana guru sewajarnya bukan sahaja menjadi pendidik, bahkan lebih penting guru hendaklah menjadi penjaga kepada pelajar yang sedang bertumbuh fizikal, akal dan emosinya.
"Saya berharap pihak Polis DiRaja Malaysia menyiasat rapi kes ini dan individu yang disyaki mendapat hukuman yang setimpal. Saya yakin Jabatan Agama Islam Selangor akan mengambil tindakan yang wajar selaras dengan undang-undang sedia ada jika perkara ini berkaitan, termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan JAIS sedang menjalankan siasatan kes amang seksual didakwa berlaku di sebuah sekolah agama swasta yang berdaftar di bawah jabatan itu.





