SEREMBAN - Mana-mana pihak yang berterusan mempersoalkan langkah yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam menangani isu anjing terbiar diminta tampil mengemukakan langkah lain yang lebih berkesan.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya terbuka menerima sebarang cadangan, tetapi biarlah berasas.
"Saya terbuka untuk terima apa saja pandangan dalam kita bersama-sama mencari solusi terbaik, tetapi jangan sekadar mempertikaikan usaha yang kita lakukan seperti peribahasa 'anjing menyalak bukit'.
"Nak mempersoalkan itu memang mudah, tapi nak menyelesaikan itu bukan mudah kerana matlamat utama saya adalah memastikan kawasan di bawah MBS ini bebas daripada isu anjing terbiar ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan sesetengah pihak berhubung Program Pemberian Insentif Wang Tunai Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela yang akan bermula pada 24 Ogos ini.
Menurut Masri, kebiasaannya apabila berlaku kes serangan atau kemalangan disebabkan haiwan tersebut, MBS turut dipersalahkan kerana gagal menangani isu terbabit.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat menerima dengan positif usaha yang cuba dilakukan dalam membanteras masalah anjing terbiar, malah percaya hanya sebahagian kecil saja yang tidak berpuas hati.
"Seperti mana yang saya nyatakan semalam, kita bukannya tangkap dan lupuskan. Tetapi kesemua haiwan tersebut akan diuruskan oleh NGO untuk ditempatkan di lokasi yang sesuai.
"Tapi kalau sesiapa ada cara lain yang lebih baik dalam menyelesaikan isu anjing terbiar ini, tolong beritahu kita, jangan sekadar membantah saja," katanya.
Selain itu, Masri turut memaklumkan bahawa MBS telah melantik seorang kontraktor untuk menjalankan operasi menangkap anjing terbiar.
Malah katanya, pihaknya turut menyediakan peruntukan bagi melaksanakan program pemandulan haiwan tersebut untuk mengawal populasinya.
"Kos menguruskan anjing terbiar ini bukannya sikit. Tapi saya nak tegaskan sesiapa yang bersedia ambil kesemua anjing-anjing ini, kita sangat alu-alukan.
"Cumanya, kita akan kenakan bayaran kepada mereka sebagai kos yang ditanggung oleh MBS sepanjang menjaga haiwan itu," katanya.






