Isu baja Kedah: Mat Sabu hantar notis tuntutan, dakwa pengguna Facebook tuduh tanpa bukti

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu baja Kedah: Mat Sabu hantar notis tuntutan, dakwa pengguna Facebook tuduh tanpa bukti
Mohamad Sabu

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menghantar notis tuntutan kepada pengguna Facebook dikenali, Tam RJebat berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja Tiga) kepada pesawah di Kedah.

Mohamad berkata, notis turut dihantar kepada pemilik akaun lain yang dikenal pasti membuat perkara yang sama.

"Nak bersuara, tak ada masalah.Tapi kalau dah sampai menuduh tanpa bukti, buat sangkaan jahat itu dah cerita lain.

"Saya dah minta peguam hantar notis tuntutan kepada pemilik akaun berkenaan serta pemilik akaun-akaun lain yang dikenal pasti membuat perkara yang sama," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam hantaran sama, Mohamad turut memuat naik tangkap layar Tam RJebat yang mempersoalkan siasatan berhubung isu bekalan baja di Kedah.

Menerusi hantaran itu, Tam RJebat mendakwa yang ditangkap untuk disiasat ialah kontraktor sedangkan Menteri KPKM dan Kementerian Kewangan terlepas.

Dakwanya lagi, selama ini mereka lantang meratib ‘sakau' rupanya puak sendiri pun didakwa terpalit dengan isu yang sama.

Tambah Mohamad, media sosial memberi ruang untuk bersuara, tetapi setiap kenyataan tetap datang dengan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau memberitahu, KPKM akan terus memperkukuh pemantauan aspek tata kelola, integriti dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat agensi di bawah Kementerian.

Jelasnya, beliau mahu setiap organisasi di bawah KPKM diurus secara telus, berintegriti dan mematuhi sepenuhnya peraturan serta tatacara yang ditetapkan.

"Sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan atau perkara yang boleh menjejaskan kepentingan awam hendaklah dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.

"Pengurusan agensi dan anak syarikat juga perlu memastikan setiap keputusan, perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.

"KPKM tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola. Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved