SPRM belum panggil saya lagi – Mat Sabu

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPRM belum panggil saya lagi – Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan beliau belum dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kelewatan pembekalan Baja 3 kepada kira-kira 60,000 pesawah di Kedah.

Mohamad berkata, beliau bersama kementeriannya bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.
Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan memastikan segala perkara berkaitan kelewatan pembekalan baja itu diteliti secara menyeluruh.

“Setakat ini, saya belum dipanggil. Sekiranya diperlukan, saya dan kementerian bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Tiada apa yang perlu disem­bunyikan dan kami terbuka untuk membantu sebarang siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan bersedia memanggil menteri dan ketua setiausaha kementerian berkaitan sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan kelewatan pengagihan bekalan Baja 3 kepada kira-kira 60,000 pesawah di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman dilaporkan berkata, arahan sudah dikeluarkan supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk terhadap semua pihak yang mempunyai kaitan dengan aspek dasar, pelaksanaan dan proses tender pembekalan baja berkenaan.

Setakat ini, seramai 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam percakapan, membabitkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pe­sawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Siasatan kes berkenaan dibuka pada 26 Ogos lalu susulan dakwaan kegagalan syarikat pembekal, TaaVeeKun Manufacturing Sdn. Bhd. (Taaveekun), yang dilantik kerajaan untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.

Pembekalan itu membabitkan kawasan seluas 100,000 hektar bagi keperluan tanaman Musim 1 dan 2 tahun ini, untuk tempoh setahun yang melibatkan kira-kira 60,000 pesawah. – UTUSAN

The post SPRM belum panggil saya lagi – Mat Sabu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved