KPKM mahu kelemahan, ketidakpatuhan agensi ditangani

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPKM mahu kelemahan, ketidakpatuhan agensi ditangani
Mohamad Sabu. Foto: Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu sebarang kelemahan dalam pengurusan serta ketidakpatuhan di semua agensi dan anak syarikat agensi di bawah kementerian itu dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM akan terus memperkukuh pemantauan terhadap aspek tata kelola, integriti dan pengurusan kewangan di semua agensi serta anak syarikat agensi di bawah kementerian berkenaan.

Menurut beliau, setiap organisasi di bawah KPKM perlu diurus secara telus, berintegriti selain mematuhi sepenuhnya peraturan serta tatacara yang ditetapkan.

“Sebarang kelemahan dalam pengurusan, ketidakpatuhan atau perkara yang boleh menjejaskan kepentingan awam hendaklah dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pengurusan agensi dan anak syarikat juga perlu memastikan setiap keputusan, perolehan serta penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan.

Mohamad menegaskan KPKM tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola.

“Amanah rakyat mesti dijaga dan setiap ringgit wang awam perlu diurus dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sebelum ini, kelewatan bekalan baja oleh pembekal yang dilantik kementerian menjadi perhatian selepas isu itu dilaporkan menjejaskan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kelewatan berkenaan, termasuk meneliti kemungkinan wujud kelemahan dalam aspek tatakelola.

Siasatan SPRM turut melibatkan pihak berkaitan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dengan agensi antirasuah itu memaklumkan telah berhubung dengan KPKM dan MADA bagi mendapatkan maklumat serta dokumen berkaitan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved