
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Isu kegagalan pegawai perubatan melapor diri untuk bertugas di Sabah dan Sarawak serta status penggubalan rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 menjadi antara topik utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang gagal melapor diri sebaik tempoh penempatan berakhir hari ini, di samping punca dan langkah mengatasinya.
Turut dibangkitkan dalam sesi itu ialah persoalan Awang Hashim (PN-Pendang) kepada Menteri Kewangan mengenai penetapan sempadan bidang kuasa antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan agensi kawal selia lain bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan penguatkuasaan.
Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan perkembangan terkini penyediaan Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikan AUKU 1971 serta komitmen kerajaan untuk membentangkannya di Parlimen pada Disember 2026.
Wabak Pneumonia Di Rusia: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Kerajaan Perlu Naikkan Kadar Elaun Penjawat Awam Dalam Belanjawan 2027 - Radzi Jidin
Pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, P. Prabakaran (PH-Batu) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung status terkini hak milik tanah dan kapasiti kolam takungan banjir di kawasan Batu serta Jinjang, khususnya keluasan yang masih berfungsi sepenuhnya bagi tujuan mitigasi banjir berbanding pelan asal.
Selain itu, Tan Hong Pin (PH-Bakri) meminta Menteri Digital membentangkan pencapaian semasa strategi kementerian dalam memperkasakan literasi digital dan penguasaan kemahiran kecerdasan buatan (AI), selain pelan tindakan strategik bagi melahirkan bakat digital berkemahiran tinggi.
Selesai sesi soal jawab, persidangan dewan dijadual diteruskan dengan perbahasan bagi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026 oleh Menteri Kesihatan.
Dewan Rakyat kemudian dijadual menyambung bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2026 yang akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.






