
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) berharap isu berkaitan elaun petugas kesihatan yang telah dibawa kepada perhatian kerajaan sejak tahun lalu mendapat keputusan positif dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah mengangkat cadangan berkenaan sejak hujung November tahun lalu dan akan terus memperjuangkan kebajikan petugas kesihatan.
“Antara yang kami angkat, antara cadangan yang kami angkat adalah elaun yang telah pun kita angkat tahun lalu, hujung tahun lalu.
“Kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya. Jadi kami telah mengemukakan isu elaun ini awal lagi dan kita telah mengangkat perkara itu,” katanya.
Menurut beliau, KKM berharap keputusan berkaitan perkara itu dapat dicapai pada tahun ini.
“Insya-Allah, kami berharap tahun ini juga sudah dapat keputusan itu,” katanya.
Beliau berkata, KKM akan terus mengangkat perkara berkaitan kebajikan petugas kesihatan berdasarkan kajian serta keperluan semasa bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan orang ramai di media sosial yang menyatakan elaun murah petugas Flying Doktor Service (FDS) iaitu RM30 tidak memadai dengan tugasan yang dilakukan petugas itu.- KOSMO! ONLINE
The post Isu elaun murah petugas doktor udara telah diangkat tahun lalu appeared first on Kosmo Online.





