
KUALA LUMPUR – UMNO berada dalam ‘mod bertahan hidup’ sejak lapan tahun lalu bagi memastikan kelangsungan politik parti itu dalam landskap politik negara yang semakin tidak menentu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, segala kemungkinan serta ancaman politik terpaksa diteroka dan dinilai demi memastikan UMNO terus berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.
Menurut beliau, perubahan pendirian dan strategi UMNO sejak 2018 sering dilabel sebagai ‘enigma politik’ kerana arah kerjasama serta pendekatan parti sukar difahami.
“Penegasan saya ialah, posisi ‘enigma politik’ ini berlaku hanya kerana dua sebab. Pertama, semuanya menjurus kepada ‘survival UMNO’.
“Kita tidak menikam sesiapa dan tidak khianat pada mana-mana pihak. Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik untuk berkelangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Mohamad berkata, UMNO tidak membenci atau memusuhi mana-mana pihak sebaliknya hanya mahu bangkit dan membina semula kekuatannya.
Beliau menegaskan, matlamat akhirnya adalah mencari kebarangkalian terbaik untuk UMNO serta masa depannya.
Dalam masa sama, katanya, UMNO perlu membangunkan kekuatan sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Pas mahupun DAP. – KOSMO! ONLINE.
The post UMNO dalam ‘mod bertahan hidup’ sejak 2018 appeared first on Kosmo Online.





