VVIP Mungkin Individu Pertama Didakwa Berhubung Siasatan RCI Tabung Haji

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 7:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

VVIP Mungkin Individu Pertama Didakwa Berhubung Siasatan RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA - Seorang individu berstatus VVIP mungkin menjadi individu pertama didakwa berhubung siasatan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kemungkinan pendakwaan itu susulan siasatan terbaharu SPRM berhubung penyewaan hartanah berkaitan pelaburan Al Rawda milik Tabung Haji di Arab Saudi.

“Ya, saya tidak menolak kemungkinan VVIP akan didakwa dalam kes ini. Bagaimanapun, kita akan umumkan kemudian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Menurut Abd Halim, siasatan berkaitan Al Rawda itu merupakan kertas siasatan terbaharu berkaitan RCI Tabung Haji yang telah dilengkapkan SPRM.

Beliau berkata, dua lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat, membabitkan TH Marine, TH Alam dan TH Alam Management dengan nilai pelaburan keseluruhan RM334.2 juta.

“Kes kedua yang telah dilengkapkan adalah berkaitan dakwaan rasuah membabitkan pegangan saham 30 peratus Tabung Haji dalam Putrajaya Perdana Construction Berhad,” katanya.

Pendedahan itu dibuat selepas seorang bekas menteri direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan pelaburan Tabung Haji di Makkah dan Madinah.

Abd Halim turut mengesahkan seramai 11 individu telah ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji.

Mereka terdiri daripada bekas pengarah urusan Tabung Haji berusia 61 tahun, seorang pengarah Putrajaya Perdana, 59, bekas pengarah Putra Perdana Construction Sdn Bhd, 61, bekas pengerusi Tabung Haji, 60, bekas pengarah Putrajaya Perdana Berhad, 69, ketua pegawai operasi Alam Maritim Sdn Bhd, 67, bekas pengurus besar kanan Tabung Haji bagi urusan haji, 65.

Turut ditahan ialah dua bekas pengurus besar kanan Bahagian Kewangan Korporat dan Perkhidmatan Tabung Haji masing-masing berusia 58 dan 59 tahun, bekas penasihat undang-undang Tabung Haji berusia 60 tahun serta seorang bekas menteri berusia 65 tahun.

Siasatan SPRM itu susulan penerbitan laporan RCI Tabung Haji yang meneliti aspek pelaburan dan tadbir urus institusi berkenaan. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved