
ALOR SETAR – Perkhidmatan feri yang tidak konsisten, tempoh menunggu yang lama serta beberapa gangguan lain memberi pengalaman kurang menyenangkan kepada pengunjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius kerana pelancong domestik bergantung kepada perkhidmatan feri untuk ke pulau peranginan tersebut.
“Apabila feri tidak dapat beroperasi dengan baik pelancong domestik akan terjejas, inilah isu yang membelenggu Langkawi sejak sekian lama kerana pelancong domestik bergantung kepada feri,” katanya pada sidang akhbar Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di sini hari ini.
Kata Muhammad Sanusi, ia berbeza dengan perkhidmatan penerbangan yang mampu menyediakan sehingga 25 penerbangan sehari ke Langkawi, sehingga kadar penginapan hotel empat dan lima bintang mencecah 70 peratus.
“Dalam bidang perhotelan, kadar 70 peratus itu cukup memberangsangkan tetapi hotel tiga bintang ke bawah banyak dihuni pelancong domestik dan mereka bergantung kepada feri,” ujarnya.
Katanya, masalah itu turut berkait dengan kerja-kerja pengerukan laluan feri yang perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pergerakan feri tidak terjejas terutama ketika air surut.
Beliau berkata, jumlah perjalanan feri juga tidak konsisten mengikut musim dengan sekitar tiga perjalanan sehari pada waktu biasa dan hanya meningkat kepada lima hingga lapan perjalanan ketika musim puncak ketika ini.
Tambahnya, pengurusan perkhidmatan feri merupakan bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, justeru Kerajaan Persekutuan perlu mengambil perhatian terhadap keperluan pengangkutan Langkawi. – KOSMO! ONLINE
The post Isu feri jejas pelancongan Langkawi appeared first on Kosmo Digital.






