
PETALING JAYA – Rapid KL mengesahkan menerima maklumat berhubung dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang penumpang wanita ketika menaiki tren Laluan Kelana Jaya, pagi tadi.
Rapid KL ketika dihubungi Kosmo! berkata, kejadian itu berlaku ketika tren dalam perjalanan dari Stesen Sri Rampai ke Stesen Setiawangsa.
Menurutnya, pasukan polis bantuan Rapid KL kemudian tampil memberikan bantuan kepada kedua-dua individu terbabit.
“Pasukan Polis Bantuan Rapid KL telah memberikan bantuan dan mengiringi kedua-dua individu berkenaan ke Balai Polis Setiawangsa bagi membuat laporan polis,” katanya.
Rapid KL berkata, kes berkenaan kini telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kekecohan dalam sebuah tren selepas seorang wanita didakwa menjerit sebelum beberapa penumpang dilihat menahan seorang lelaki.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika tren berada berhampiran Stesen LRT Setiawangsa.
Beberapa pengguna media sosial yang mendakwa berada di lokasi turut mendakwa wanita berkenaan mendakwa lelaki terbabit menyentuhnya ketika dalam perjalanan dari Sri Rampai menuju Setiawangsa.- KOSMO! ONLINE
The post Rapid KL sahkan gangguan seksual dalam tren Sri Rampai-Setiawangsa appeared first on Kosmo Digital.






