Isu Hutang RM4.65 Juta: Fazura & Abang Sudah Lantik Peguam, Akan Ke Mahkamah

LocalEntertainment
14 May 2025 • 7:30 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
fazura lantik peguam isu saman 464 juta

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tidak dinafikan nama selebriti dan usahawan terkenal, Fazura antara yang paling hangat diperkatakan sejak awal bulan ini selepas tular dakwaan yang jenama tudungnya, FAZURA berdepan tuntutan saman oleh kilang pembekal hijab, Obor Holding Sdn Bhd.

Pun begitu, Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin dilihat lebih memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi sebarang kenyataan mengenai dakwaan hutang sebanyak RM4.65 juta tersebut.

Malah dia dilihat meneruskan kehidupan hariannya seperti biasa selain kekal aktif mengemaskini status di akaun media sosial miliknya.

Fazura & abang sudah lantik peguam

Terbaharu Nur Fazura dan abangnya, Ahmad Faiz, akhirnya telah melantik firma guaman Tetuan Low and Partners untuk mewakili mereka berhubung tuntutan hutang RM4.65 juta berkenaan.

Mewakili anak guam mereka, firma guaman tersebut telah memberi maklum balas terhadap tuntutan Obor Holding dengan memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan Memorandum Kehadiran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kedua-dua defendan.

Bersama surat berkenaan, turut dikepilkan salinan Momerandum Kehadiran Faiz dan Fazura yang telah difailkan pada 5 dan 7 Mei.

Pun begitu setakat ini tiada maklumat tambahan mengenai tarikh sebutan kes.

Obor Holding dakwa Fazura hanya bayar RM2.68juta dari RM7.3 juta

Terdahulu Obor Holding selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Tudung Fazura berhutang hampir RM4.65 juta dengan pihaknya.

Menerusi dokumen pernyataan tuntutan (statement of claim) yang BuzzKini lihat, Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekaligus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dokumen berkenaan turut menamakan syarikat Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Lebih mengejutkan mereka mendakwa telah menerima cek tendang RM1 juta. Ini selepas Faiz menyerahkan cek yang ditandatanganinya bersama Fazura pada 3 September 2024, namun pihak Obor Holding gagal “mencairkannya” di bank sebaliknya menerima notis Return Cheque Advice.

Semua urusan dan transaksi dilakukan ketika Fazura masih lagi bergelar pengarah sebelum selebriti terkenal itu melepaskan jawatan sebagai pengarah Pink Fate pada Januari 2025. Pun begitu, Faiz masih lagi kekal sebagai pengarah syarikat itu sehingga ke hari ini.