
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu video ucapan memaparkan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa membuat jenaka mengenai paderi dan biarawati sehingga tidak disenangi oleh orang ramai.
Ada juga segelintir yang menyifatkan ucapannya itu berbaur lucah selain ada pihak seperti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang mengkritik dan mendesaknya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
View on Threads
Noorazli tampil jelaskan mengenai ucapan yang tular
Sedar dengan reaksi serta pandangan daripada orang ramai, Noorazli Said kemudiannya tampil memberikan penjelasan berhubung ucapannya itu.
Kata Noorazli kisah mengenai paderi itu digunakan hanya sebagai satu analogi untuk mengambil pengajaran tentang pentingnya fokus, ketekunan serta kebijaksanaan untuk mencapai sesuatu matlamat.
Tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh mahupun persenda
“Ia sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekehkan atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
“Namun, saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohon maaf jika menimbulkan salah faham dan singgung perasaan mana-mana pihak
Menurutnya lagi, sekiranya penyampaiannya dalam ucapan berkenaan telah menimbulkan salah faham mahupun menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, dia dengan penuh rendah hati memohon maaf.
Kata Noorazli, beliau juga menerima perkara tersebut sebagai satu pengajaran agar lebih berhati-hati dalam memilih analogi dalam menyampaikan sesuatu pandang di masa hadapan.
Harap penjelasan diberikan dapat meredakan salah faham yang timbul
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
“Semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain.”
Dr Akmal Saleh sifatkan agama bukan satu perkara bolh dijadikan sebagai bahan jenaka
Terdahulu, Dr Akmal Saleh mendesak individu yang didakwa membuat jenaka mengenai paderi ketika PAU 2026 untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran beliau di Facebook, Dr Akmal mengatakan agama bukanlah satu perkara yang boleh dijadikan sebagai bahan jenaka oleh mana-mana pihak.
“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah.
“Maka jika kita marah bila diperlakukan sebegitu, maka kita tidak seharusnya buat pada orang lain juga. Jadi saya mendesak agar individu ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Dr Akmal turut mengatakan jenaka yang dikeluarkan juga tidak menggambarkan tentang pendirian UMNO dan itu adalah pendapat peribadi Noorazli sendiri.
Pemimpin dari Sabah turut gesa Noorazli buat pemohonan maaf
Memetik Bernama, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Pengerusi Barisan Nassional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup juga menggesa permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat dilakukan kepada umat Katolik dan seluruh masyarakat Kristian.
Walau bagaimanapun, beberapa ahli politik dari DAP menolak permohonan maaf bersyarat berkenaan antaranya ahli parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menyifatkan permohonan maaf tidak sepatutnya dijadikan butang ‘reset’ selepas ada ahli politik melampaui batas.
“Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno bukan sekadar terlepas cakap. Noorazli memilih untuk menyampaikan jenaka berbaur seksual yang membabitkan seorang paderi Katolik dan seorang biarawati,” kata Syerleena.






