
KUALA LUMPUR – Malaysia sudah menghantar surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN berhubung isu jerebu kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, surat berkenaan dihantar oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan langkah bersama negara anggota ASEAN dalam menangani isu jerebu.
Beliau berkata, setiap negara anggota ASEAN perlu memainkan peranan bagi memastikan aktiviti pembakaran terbuka, termasuk pembakaran di kawasan ladang, dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.
“Surat itu sudah dihantar oleh Datuk Seri Mohamad Hasan… dia nak tengok macam mana dalam ASEAN kita boleh bersama-sama menyelesaikan soal jerebu ini kerana setiap negara dalam ASEAN kena main peranan untuk memastikan penguatkuasaan pembakaran terbuka, pembakaran ladang.
“Perlu kita pastikan bahawa ini adalah perkara sangat penting. Jadi isu ini akan dibincang oleh Datuk Mohamad kepada rakan-rakan sejawat dia di ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Alpha Gen Talent @ KEMAS 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai lawatan rasmi ke Brunei bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini beliau berkata, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Katanya, lawatan ke negara jiran itu dilakukan secara bergilir dan Brunei dijangka melakukan kunjungan ke Malaysia pada tahun depan.
“Itu lawatan yang biasa yang kita buat setiap tahun. Kita pergi ke sana dan tahun depan dia akan ke sini.
“Jadi masa kita pergi itu adalah giliran kita pergi sana. Normal, ‘bilateral meeting’ yang kita buat. Itu saja, tak ada apa lain,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Malaysia hantar surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN isu jerebu appeared first on Kosmo Digital.






