amree29/09/2026 - 17:50 SUASANA bilik operasi Pusat Kawalan Trafik Udara (ATCC) Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. - DagangNews.com / Amree Ahmad Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com SEPANG 29 Sept — Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terus memperkasakan infrastruktur pengurusan trafik udara negara menerusi pelaksanaan projek Pusat Kawalan Trafik Udara (ATCC) Kota Kinabalu di Sabah yang melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM270 juta.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi CAAM, Zainol Abidin Maslan menjelaskan pembinaan kemudahan baharu ini akan dilaksanakan dengan segera dan amat penting memandangkan pusat sedia ada di situ sudah agak lama serta usang, malahan dianggap tidak selari perkembangan semasa.
Peruntukan besar tersebut ujarnya, merangkumi pembinaan bangunan fizikal serta kelengkapan peralatan kawalan trafik udara terkini, setanding ATCC Kuala Lumpur di Sepang apabila berpindah dari Subang, yang ditutup pada 1 September 2021 setelah beroperasi sejak 1994.
"ATCC Kota Kinabalu sudah lama berkhidmat sejak era Jabatan Penerbangan Awam (DCA) lagi sebelum kemudian agensi ini dijenamakan sebagai CAAM, dengan mengawal selia ruang udara yang luas di bawah kawalan Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR)," tambahnya.
Zainol Abidin berkata demikian pada program Literasi Media CAAM dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang turut dihadiri Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Shahril Tarmizi dan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, serta lebih 30 pengamal media dari pelbagai organisasi tempatan.
Artikel berkaitan: Isu kawal selia penerbangan bermula 2.5 tahun sebelum pesawat berlepas - CAAM

Projek berkenaan ujarnya akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan beliau menjangkakan kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan sekitar akhir tahun ini atau awal tahun depan setelah segala perkara yang berkaitan termasuk pelantikan kontraktor dapat diselesaikan.
Di samping perbelanjaan modal pembangunan infrastruktur, CAAM turut menguruskan kos operasi yang tinggi bagi memelihara kecekapan dan keselamatan sistem penerbangan, termasuk pemasangan peralatan bantuan navigasi pesawat sahaja menelan kos kira-kira RM12 juta.
"Perbelanjaan penyelenggaraan sistem dan peralatan pengurusan trafik udara lebih RM100 juta setiap tahun dengan peruntukan berterusan ini menyerlahkan komitmen memastikan 'lebuh raya di langit' sentiasa dipelihara mengikut piawaian antarabangsa," kata Zainol Abidin.
Selain pembangunan infrastruktur fizikal, CAAM turut melakar kejayaan dalam bidang pembangunan modal insan menerusi Akademi Penerbangan Malaysia (MAVA) di Sepang apabila berjaya melatih ramai pegawai kawalan trafik udara dari 30 buah negara termasuk benua Afrika.
Sementara itu, berhubung isu keselamatan penerbangan ketika berdepan dengan cabaran cuaca buruk seperti fenomena jerebu tebal atau ancaman debu gunung berapi, maklumat berkenaan disalurkan secara automatik terus daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia) CAAM, Kapten Mohd Radzi Mohamad Alias, ia dihantarkan terus ke menara kawalan trafik dan ATCC di samping turut dimaklumkan kepada semua syarikat penerbangan serta juruterbang pesawat yang terlibat.
"Sekiranya jarak penglihatan merosot di bawah 2,000 meter, pengawal trafik udara diwajibkan memberi amaran dan laporan cuaca terkini kepada juruterbang yang bertanggungjawab memutuskan untuk menunda atau membatalkan langsung penerbangan," katanya.
Penumpang yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan kepada syarikat berkenaan termasuk menuntut ganti rugi sama ada diberikan makanan atau penginapan percuma, namun mereka harus memahami isu keselamatan pesawat adalah keutamaan tinggi juruterbang.
Dari segi protokol semasa cuaca buruk, Mohd Radzi menegaskan prosedur itu terbahagi kepada dua fasa berbeza antaranya sebelum pintu pesawat ditutup, keputusan boleh berlepas atau dibatalkan berada di bawah bidang kuasa Pusat Kawalan Operasi (OCC) syarikat penerbangan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik sahaja pintu pesawat ditutup dan perjalanan bermula, tanggungjawab penuh beralih kepada juruterbang, manakala pihak OCC akan sentiasa menyalurkan perkembangan cuaca di destinasi contohnya pergerakan jerebu atau ribut.
"Keputusan akhir sama ada hendak meneruskan pendaratan, melakukan lencongan atau kembali ke lapangan terbang asal terletak di tangan kapten pesawat berkenaan selepas dia menilai keadaan sebenar di udara," tambah beliau. - DagangNews.com






