amree29/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com SEPANG 29 Sept — Pesawat Gulf Air akan terbang pada altitud yang lebih rendah daripada biasa di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan kawasan berhampiran sempena penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), operasi penerbangan itu dijadualkan berlangsung lima hari dari 30 September hingga 4 Oktober 2026, dalam masa sejam antara pukul 2 petang hingga 3 petang.
Justeru CAAM berkata, orang ramai khususnya mereka berada di sekitar Sepang, Selangor mungkin dapat melihat dengan jelas pesawat berkenaan terbang pada altitud yang lebih rendah daripada kebiasaan sepanjang tempoh berkenaan.
"Masyarakat sehubungan itu dinasihatkan supaya tidak berasa cemas sekiranya menyaksikan operasi penerbangan pesawat nasional Bahrain tersebut," tambah agensi berkenaan.
CAAM berkata, operasi tersebut sudah diselaraskan bersama-sama pihak berkuasa berkaitan dan akan dilaksanakan mengikut keperluan standard keselamatan penerbangan yang ditetapkan.
Pada masa sama, ia turut memberi peringatan bahawa operasi penerbangan dron oleh orang awam di ruang udara yang terjejas berkenaan sepanjang tempoh acara tersebut adalah dilarang.
Ujar CAAM, penerbangan dron dikhuatiri boleh menimbulkan risiko serius terhadap pesawat yang beroperasi pada altitud rendah, selain membahayakan orang ramai di kawasan sekitarnya.
"Pengendali dron perlu mendapatkan kebenaran yang diperlukan sebelum dapat menjalankan sebarang penerbangan di kawasan berkenaan," jelasnya.
CAAM berkata, pengendali yang menerbangkan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan siasatan dan tindakan penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta undang-undang lain yang berkaitan.
Orang ramai dan pengendali dron turut diminta mematuhi sekatan ditetapkan serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan ruang udara terbabit kekal bebas daripada aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan operasi.
CAAM menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan operasi penerbangan berjalan selamat, sekali gus melindungi keselamatan penonton, peserta acara dan orang awam di sekitar SIC sepanjang penganjuran Formula 1. - DagangNews.com





