Isu kediaman IPTA, kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah antara tumpuan Dewan Rakyat

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 8:34 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Isu kediaman IPTA, kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Strategi pengukuhan industri hiliran komoditi, isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah, antara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada sesi soal jawab Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Perladangan dan Komoditi, menjelaskan strategi memperkukuh industri hiliran komoditi bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah serta memperluas peluang industri dan pendapatan kepada pekebun kecil.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula bertanya kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai usaha berterusan menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA khususnya golongan B40.

Pada sesi sama, Zulkifli Ismail (PN-Jasin) meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dan mekanisme tegas kerajaan, bagi menyelesaikan isu kelewatan perbicaraan Mahkamah Syariah terutamanya kes tuntutan nafkah dan anak yang tertunggak bertahun lamanya.

Turut disenaraikan ialah pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) kepada Menteri Ekonomi mengenai penilaian kerajaan terhadap kedudukan sebenar kelas menengah, yang tidak semestinya layak menerima bantuan tetapi berdepan peningkatan komitmen perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keluarga.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat dijadual diteruskan dengan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved