Isu kedudukan DAP: Selepas Ahad baru kita cakap – Loke

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 11:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu kedudukan DAP: Selepas Ahad baru kita cakap – Loke

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memilih untuk tidak mengulas sebarang spekulasi berhubung kedudukannya apabila ditanya mengenai kemungkinan program yang dihadirinya hari ini merupakan yang terakhir sebelum berlangsungnya Persidangan Kebangsaan DAP, Ahad ini.

Loke menjelaskan dan meminta semua pihak menunggu sehingga Ahad ini sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat berhubung perkara berkenaan termasuk kedudukan DAP dalam Kerajaan Madani.

“Macam mana awak tahu ini yang terakhir? Saya tak pernah cakap macam itu pun. Lepas hari Ahad baru kita cakaplah,” katanya ketika ditemui pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MoT) di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi itu apabila diajukan soalan oleh wartawan sama ada perhimpunan bulanan MoT hari ini adalah terakhir dihadirinya.

Loke bagaimanapun menjawab pertanyaan itu dalam suasana santai sambil ketawa dan menyifatkan dirinya berada dalam keadaan yang cukup tenang pada hari berkenaan.

“Fokus utama ketika ini adalah sambutan hari lahir Ketua Setiausaha (KSU) kementerian yang diadakan bersama warga kerja.

“Saya sedang menyambut hari lahir KSU saya hari ini. Lepas ini kita ada sambutan hari lahir untuk KSU,” katanya sebelum mengakhiri sesi bersama media.

Jawapan ringkas itu sekali gus tidak memberi sebarang petunjuk terhadap spekulasi yang berlegar, sebaliknya menegaskan pendiriannya untuk hanya bercakap mengenai perkara tersebut selepas Ahad.

DAP akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) melibatkan seramai 4,264 perwakilan.

Persidangan ini penting untuk menentukan sama ada parti itu akan kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan Persekutuan, walaupun pelbagai bahagian parti dijangka menggesa agar terus kekal. – UTUSAN

The post Isu kedudukan DAP: Selepas Ahad baru kita cakap – Loke appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved