Isu Kegagalan San Disk Extreme Pro Adalah Disebabkan Kelemahan Rekaan Dan Pengilangan

TechnologyDigital
14 Nov 2023 • 12:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Storan SSD luaran San Disk Extreme Pro sebelum ini dinobatkan oleh ramai pengamal media dan profesional digital sebagai salah satu pilihan storan yang sangat baik kerana saiz fizikalnya yang sangat kecil, padat dan mudah dibawa kemana-mana, dan juga saiz digitalnya yang mampu merumahkan beratus, mahupun beribu jumlah video sekiranya diperlukan.

Semuanya berubah apabila banyak kes kerosakan storan ini dilaporkan yang mengakibatkan ramai pengguna storan San Disk Extreme Pro ini mengatakan bahawa fail-fail projek ataupun data sandaran mereka semuanya hilang dan tidak dapat dikembalikan.

image is not available

Malah perkara ini dilihat menjadi lebih serius apabila beberapa editor daripada laman-laman web teknologi terkemuka mengatakan bahawa mereka sendiri menghadapi masalah yang sama, dan menyebabkan banyak kerja syarikat dan peribadi hilang tanpa sebarang cara untuk mengembalikan data.

Western Digital, syarikat disebalik San Disk kini nampaknya bakal berdepan dengan kes mahkamah kerana isu ini, dan kini, sebuah syarikat pemulihan data dari Eropah, Attingo dilihat telah cuba untuk memperbaiki beberapa produk San Disk Extreme Pro ini, dan mendapati beberapa isu didalamnya.

Pertama ialah komponen-komponen seperti cip memori yang dipasang pada papan litar storan ini adalah terlalu besar untuknya, dan ini menyebabkan perkara seperti sambungan yang tidak kukuh, galangan (impedance) dan juga suhu komponen yang terlampau tinggi.

image is not available

Satu lagi isu yang diketengahkan ialah bahan pateri yang digunakan untuk menyambukan komponen-komponen ini adalah pateri berkualiti rendah, yang juga tidak membantu dalam memastikan sambungan yang kuat antara papan litar dan komponen.

Buat masa ini, ia dilihat bahawa Western Digital hanya akan memberikan kemaskini perisian untuk storan San Disk Extreme Pro model 4TB. Model 2TB dan 3TB tidak menerima kemaskini yang sama, barangkali kerana isu yang membelenggu model-model tersebut adalah lebih kepada isu komponen dan bukan perisian.

Walaupun begitu, San Disk mengatakan bahawa mereka sudah mengemaskini komponen-komponen mereka dengan bahan epoxy yang memastikan ia tidak tercabut ataupun memberikan sebarang isu untuk pengguna lagi di masa hadapan.