
KANGAR: Sasaran peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) beras Malaysia kepada 80 peratus hanya angan-angan yang terlalu sukar untuk direalisasikan.
Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan bagi menyelesaikan isu-isu asas pesawah khususnya pembekalan baja terlebih dahulu sebelum menyasarkan peningkatan tersebut.
Ini kerana hanya sekitar 137,560 beg atau 22 peratus sahaja baja sebatian tambahan (Baja Padi 3) yang berjaya dibekalkan daripada keseluruhan 616,015 beg kepada pesawah.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, isu pembekalan baja tambahan perlu diselesaikan terlebih dahulu memandangkan usia tanaman ketika ini sudah melebihi 80 hari.
“Bagaimana nak tingkatkan hasil? Pesawah hendak menanam padi, input tidak cukup. Padi hendak membesar. Baja lambat, selain kos pula semakin meningkat. Selesai dulu isu asas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, SSR beras Malaysia perlu ditingkatkan kepada 80 peratus bagi memastikan keterjaminan makanan negara pada tahap selesa, selain mengelak rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia masih jauh untuk mencapai tahap selesa dalam keterjaminan makanan, khususnya bagi komoditi padi dan daging.
Menurutnya, SSR beras negara ketika ini masih di bawah 60 peratus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara lebih agresif.
Kira-kira 38,000 pesawah yang masih belum menerima bekalan baja sebatian tambahan di kawasan sekitar 78,117 hektar berdepan kerugian RM1.3 juta sehari, kerana setiap hari yang berlalu atau sebarang kelewatan memberi kesan kepada tanaman padi.
Anggaran nilai berkenaan mengambil kira setiap pesawah yang mengalami kerugian sekitar RM25 sehari membabitkan kawasan seluas 52,000 hektar tanaman padi yang kini berada pada peringkat 31 hingga 75 hari usia tanaman.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan pada 18 Ogos lalu memberi jaminan akan memastikan baki bekalan baja sebatian tambahan sebanyak 478,455 beg membabitkan keperluan 38,000 pesawah dapat diselesaikan dalam tempoh bekalan yang berakhir pada 1 Oktober ini.
Mohd. Shazwan berkata, SSR beras negara pada masa ini menunjukkan trend menurun membimbangkan daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada 2024.
Beliau berkata, jika kerajaan serius mahu mencapai 80 peratus SSR, pelbagai perkara asas berkaitan pesawah perlu diselesaikan terlebih dahulu, antaranya bekalan dan kualiti benih serta baja terjamin, bekalan air mencukupi serta harga belian padi berbaloi.
“Sasaran 80 peratus tidak akan tercapai hanya dengan slogan. Sasaran 80 peratus bermula daripada pesawah yang cukup input, cukup sokongan dan mampu terus mengeluarkan padi,” katanya.
Dalam pada itu, pesawah, Zaidi Nasir, 40, berkata, ketika ini mereka berdepan pelbagai masalah yang menyukarkan peningkatan hasil pada setiap musim.
Katanya, hasil pesawah hanya sekitar empat sehingga lima tan sehektar sahaja, sekali gus sukar untuk membantu kepada peningkatan SSR.
“Jika masalah infrastruktur baik, bekalan baja tepat pada masa, benih padi berkualiti, pesawah mampu meningkatkan hasil,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob turut bersetuju sasaran SSR beras negara tidak realistik, sekiranya masalah asas di peringkat pesawah termasuk kelewatan bekalan baja terus berulang.
Beliau berkata, sasaran itu sebenarnya boleh dicapai berdasarkan rekod negara yang pernah mencatatkan SSR sehingga 90 peratus pada era Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sekitar 1990.
“SSR 80 peratus boleh dicapai dan kita pernah mencapai 90 peratus ketika era LPN pada 1990.
“Namun, sasaran 80 peratus tidak akan realistik sekiranya masalah asas di peringkat pesawah masih berulang dan tidak diselesaikan, termasuk isu terbaharu melibatkan kelewatan bekalan baja,” katanya.
Abdul Rashid berkata, kerajaan tidak boleh sekadar menetapkan sasaran SSR yang tinggi tanpa memastikan semua faktor pengeluaran di sawah benar-benar terjamin.
“Semua perkara itu saling berkait dalam rantaian industri,” katanya. – UTUSAN
The post SSR beras 80 peratus sukar direalisasi appeared first on Utusan Malaysia.






